Khamis, 29 Ogos 2013

Malam

Malam. Tikanya bulan dan bintang secara paksarela menjadi saksi janji, sumpah, tangis dan tawa sang pemuja cinta. Saat ini asmaraloka mencerahkan hari sang pemburu cinta. Nafsu dan akal menjadi pilihan mereka.
 Hidupnya sang malam dikota. Metropolitan itu tidak kenal erti tidur. Seruan demi seruan diterima si pemilik tubuh untuk mengisi kocek yang senantiasa lapar dan dahaga. Lain di desa. Inilah saat tenang bagi pencinta kedamaian. Serangga dan unggas mengambil tugas memecah kesunyian malam dengan keriuhan yang menenangkan. 
Sisi gelap sang malam tetap ada. Yang belang hidungnya menerkam ayam. Yang panjang tangannya mengaut mencari 'rezeki'. Tak kurang juga yang memperjudikan diri atas nama kelajuan diatas tar. 
Sinonimnya dengan tidur amat sukar terpisah. Waktu asal manusia memanjakan diri diatas pembaringan. Keras atau empuk itu soalan kedua. Yang penting lenanya. Mimpi mengambil alih duka alam nyata untuk dirawat sebelum jasad ini dikembalikan roh untuk menghadap hari esok. 
Yang berpegang kepada dua kalimah, ini saat lena dan jaga. Lenanya ibadah jaganya juga untuk ibadah. Lengkap sudah lima waktu ini, ini masa untuk mendampingi yang satu. Mengorbankan nikmat sebentar dunia fana untuk membina lebuhraya ke syurga. titis tangis taubat membasahi, tikar berpaksi kiblat mengalasi. Berkomunikasilah sang hamba dengan maha pencipta.
Malam. Pasti terjadi. Itu janji alam. Belum pernah dimungkiri.

Rabu, 21 Ogos 2013

perlawanan hidup mati

sebelum kaki dilangkah, ku dah tahu siapa lawan. handal bukan kepalang. strategi ampuh disusun, zahir dan batin diperkukuh. langkah kanan disusun menapak ke dalam gelanggang. disitu permainan bermula. pertarungan hidup mati. menang peroleh hati, kalah dapat hampa, mungkin juga mati. memandang seteru hanya kau dan aku. 
wisel dimulakan. mula aku tanamkan ini perlawanan aku.harus menang. mula dengan tenang. hantaran-hantaran mudah kuberikan, agar kau tahu maksud yang aku ingin sampaikan. kau terima tapi ia hanya jadi permainan antara kau. ku cari ruang untuk mendapat balasan namun hampa.
rampas kembali posisi. kini mulai agresif.ku cuba tembus pertahanan ampuh yang kau bina.gagal. serangan dan asakan ku hantar namun seperti kebalnya tembok besar gah kau tepis. perlahankan rentak.
disaat aku leka. kau tebuk dinding pertahanan aku. menerjah kedalam gawang yang tak berpenjaga. robeknya bukan sedikit. semangat semakin luntur. 
baki perlawanan hidup mati ini bakal berakhir. wisel sudah berada dimulut si pengendali. pasrah terpampang besar, diangkat sebagai kain rentang yang menjawab perasaan hati. harapnya aku tenang. ya, aku tahu harapan makin tipis namun ku terus mencuba. mungkin kita akan seri. pulang dengan hati masing-masing dan bersedia menempuh perlawanan seterusnya. ataupun kau semakin kebal bertahan, menahan asakan dan aku pulang kosong tanpa nyawa yang telah kau bawa. dijadikan trofi kebanggaan kerana aku telah tertewas. lihat sahaja saat-saat terakhir ini. andai kejutan boleh terjadi. sujud syukur yang pertama sekali. keputusan itulah yang aku nanti.