Khamis, 21 November 2013

Untuk Budak Pendek

Yang aku ingin tulis ini hanyalah ungkapan hati yang telah kau buka kembali. Maaf andainya kata2 ku ini menerbitkan kerungsingan dalam hati kau, menimbulkan secebis kemarahan dihati kau. Maaf. aku ingin sampaikan tulisan ini kepada kau. Ya, kau yang membalas setiap tulisan ku dengan puisi indah. Kau si budak kecik yang suka mencebik. Kau yang aku jumpa dipermulaan perkenalan di aplikasi androidku. Ya, kau yang aku maksudkan. Pernah aku katakan kepada kau tentang perasaanku. Maaf dulu aku seorang pengecut yang tak bisa menatap mata kecil mu. Tapi pada saat ini jujurnya aku sangat takut akan kehilangan kau. Maaf  sekali lagi andai aku mencintai kau tanpa izin. Aku tak mampu nak melawan perasaan ini. Aku selesa dengan kau. Aku suka senyuman kau. Aku suka layanan kau terhadap aku. Bukan niat aku untuk memaksa kau. Tiada kata paksaan dalam kamus hidupku. Sungguh benar aku katakan, andai kemampuan itu milik aku, akan segera dihantar tanda ikatan sah. Ini bukan gurauan dari aku. Ya, aku bukan manusia jenis serius, tapi untuk melihat kau dipimpin insan lain juga bukan gurauan manis untuk aku. Andai kata buat masa ini sudah ada si Robin Hood yang berjaya mencuri hati, perasaan dan pandangan indah dari matamu, aku akan terima dengan senang hati andai kau bahagia. tetapi andai kata masih ada peluang untuk aku bersama dengan kau, takkan aku siakan peluang itu walau sesaat. Bukan aku taburkan manisan dalam kata, tapi ianya apa yang terbuku dalam hati sejak sekian lama. aku berharap kau faham akan apa yang aku rasakan selepas kau baca tulisan aku ini....sekian...

Selasa, 15 Oktober 2013

korban

aku ratah embun malam hingga beku tulang belulang,
aku sedut kesengsaraanmu hingga terbentang karpet merah dijalan berdurimu...
aku sanggup begitu walau ia menjadi serpihan kaca beracun dalam sepatuku...
bukan ku tak mahu kau jadi permaisuri ku...
cuma aku tak mahu jadi peragut kebahagiaan dirimu..
biarkan aku tertonggeng sendiri...
kerana aku rasa bahagia jika kau dapat bingkas bangun dan berlari...
jangan berpaling ke arah aku...

Khamis, 29 Ogos 2013

Malam

Malam. Tikanya bulan dan bintang secara paksarela menjadi saksi janji, sumpah, tangis dan tawa sang pemuja cinta. Saat ini asmaraloka mencerahkan hari sang pemburu cinta. Nafsu dan akal menjadi pilihan mereka.
 Hidupnya sang malam dikota. Metropolitan itu tidak kenal erti tidur. Seruan demi seruan diterima si pemilik tubuh untuk mengisi kocek yang senantiasa lapar dan dahaga. Lain di desa. Inilah saat tenang bagi pencinta kedamaian. Serangga dan unggas mengambil tugas memecah kesunyian malam dengan keriuhan yang menenangkan. 
Sisi gelap sang malam tetap ada. Yang belang hidungnya menerkam ayam. Yang panjang tangannya mengaut mencari 'rezeki'. Tak kurang juga yang memperjudikan diri atas nama kelajuan diatas tar. 
Sinonimnya dengan tidur amat sukar terpisah. Waktu asal manusia memanjakan diri diatas pembaringan. Keras atau empuk itu soalan kedua. Yang penting lenanya. Mimpi mengambil alih duka alam nyata untuk dirawat sebelum jasad ini dikembalikan roh untuk menghadap hari esok. 
Yang berpegang kepada dua kalimah, ini saat lena dan jaga. Lenanya ibadah jaganya juga untuk ibadah. Lengkap sudah lima waktu ini, ini masa untuk mendampingi yang satu. Mengorbankan nikmat sebentar dunia fana untuk membina lebuhraya ke syurga. titis tangis taubat membasahi, tikar berpaksi kiblat mengalasi. Berkomunikasilah sang hamba dengan maha pencipta.
Malam. Pasti terjadi. Itu janji alam. Belum pernah dimungkiri.

Rabu, 21 Ogos 2013

perlawanan hidup mati

sebelum kaki dilangkah, ku dah tahu siapa lawan. handal bukan kepalang. strategi ampuh disusun, zahir dan batin diperkukuh. langkah kanan disusun menapak ke dalam gelanggang. disitu permainan bermula. pertarungan hidup mati. menang peroleh hati, kalah dapat hampa, mungkin juga mati. memandang seteru hanya kau dan aku. 
wisel dimulakan. mula aku tanamkan ini perlawanan aku.harus menang. mula dengan tenang. hantaran-hantaran mudah kuberikan, agar kau tahu maksud yang aku ingin sampaikan. kau terima tapi ia hanya jadi permainan antara kau. ku cari ruang untuk mendapat balasan namun hampa.
rampas kembali posisi. kini mulai agresif.ku cuba tembus pertahanan ampuh yang kau bina.gagal. serangan dan asakan ku hantar namun seperti kebalnya tembok besar gah kau tepis. perlahankan rentak.
disaat aku leka. kau tebuk dinding pertahanan aku. menerjah kedalam gawang yang tak berpenjaga. robeknya bukan sedikit. semangat semakin luntur. 
baki perlawanan hidup mati ini bakal berakhir. wisel sudah berada dimulut si pengendali. pasrah terpampang besar, diangkat sebagai kain rentang yang menjawab perasaan hati. harapnya aku tenang. ya, aku tahu harapan makin tipis namun ku terus mencuba. mungkin kita akan seri. pulang dengan hati masing-masing dan bersedia menempuh perlawanan seterusnya. ataupun kau semakin kebal bertahan, menahan asakan dan aku pulang kosong tanpa nyawa yang telah kau bawa. dijadikan trofi kebanggaan kerana aku telah tertewas. lihat sahaja saat-saat terakhir ini. andai kejutan boleh terjadi. sujud syukur yang pertama sekali. keputusan itulah yang aku nanti.

Jumaat, 1 Februari 2013

cinta itu kokain jiwa


cinta itu kokain jiwa. bunuh dalam senyap. biarpun beri seribu tenaga 
meratah jiwa tika sedang khayal melakar indah raut wajah

"ingin ku bawa mu dalam bayangan bintang jadian
bina singgahsana dan bersemayam disana
ini bintang khayalan aku
tiada siapa boleh mencuri jiwa jasad kau"

kata si penagih cinta

sayang ia hanya sekadar khayalan
yang mati dikala realiti mendatang

tinta cinta bagai hembusan awan putih keluar dari mulut sang penagih
diukir beliau menjadi sesuatu yang indah dimatanya
dalam sedar atau tidak ianya sudah menanam racun dalam tubuh
tidak terpacul dari mulut sang pencinta
samada yang mencinta atau yang dicintai
kata kesal, bersalah
meracun kesucian nama cinta
membunuh satu per satu jiwa
merobek setiap harapan
cinta anak kecil mahupun dewasa
tiada istilah serik dalam bercinta
sungguh tidak kebal diri menahan ketagihannya

tidak mengapa...
teruslah menagih sang pencinta
nikmati dadah halal ini semampunya...
ianya fitrah
namun jaga jaga
jangan kau bayar harga cinta dengan nyawamu
kerana pasti cinta yang kau beli itu tidak dapat kau tukar dengan syurga
akhirat yang kekal abadi

credit to : Syahid Suhaimi


Rabu, 30 Januari 2013

meraung

bodoh...kerana malu dia hilang
cuma keluarkan suara dan keberanian tapi masih berteka teki dengan keputusan
mau jadi romeo tapi bertahun senyapkan diri
katakan saja pada dia
gunakan akal tak perlu dibuntal

desak hati setiap hari
namun jasad tak ambil peduli

sekarang apa yang tinggal???
airmata???
kecewa???
makan hati???
salah siapa???

bermain dengan api belum tentu kau akan mati
tapi jika bermain dengan perasaan nyawa boleh tinggalkan badan